Rasulullah s.a.w telah
bersabda: “Apabila si mati dikuburkan.., datanglah kepadanya dua Malaikat hitam
legam, lagi biru (matanya), salah satu di antaranya disebut dengan nama
“Munkar” dan yang satu lagi disebut dengan nama “Nakir”, (lalu keduanya
mendudukan si mati itu setelah dikembalikan rohnya ke dalam jasadnya) kemudian
mereka menyoalnya:”Apa yang pernah engkau katakan mengenai orang ini (Muhammad
s.a.w)?”
Dan pada satu riwayat oleh Abu
Daud:
Mereka bertanya kepadanya: “Apa
yang engkau pernah sembah?” Maka kalau Allah memberi hidayah pertunjuk
kepadanya, ia akan menjawab dengan berkata: “Aku menyembah Allah!” Kemudian ia
ditanya lagi: “Apa yang engkau pernah katakan mengenai orang ini (Muhammad
s.a.w)?” (Dan pada satu riwayat yang lain, oleh Abu Daud juga: Mereka
menyoalnya dengan berkata: “Siapa Tuhanmu?” Ia menjawab: “Tuhanku ialah Allah!”
Mereka bertanya lagi: “Apa
agama mu?” Ia menjawab: “Agamaku ialah Islam!” Mereka bertanya lagi: “Siapa dia
orang yang telah diutuskan dalam kalangan kamu)?” Maka kalau si mati seorang
yang beriman, ia akan menjawab dengan berkata: “Orang itu (Muhammad s.a.w)
ialah hamba Allah dan RasulNya, aku mengetahui serta meyakini bahawa
sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa
sesungguhnya Muhammad itu ialah hamba Allah dan RasulNya!” Mereka berkata
kepadanya:
“Kami sedia mengetahui bahawa
engkau mengakui yang demikian”; (Dan pada satu riwayat oleh Abu Daud bahawa
Baginda s.a.w bersabda: “Lalu diseru oleh penyeru dari langit katanya: “Sungguh
benar hamba-Ku, maka bentangkanlah kepadanya satu hamparan dari Syurga, dan
pakaikanlah dia pakaian dari Syurga, serta bukakanlah baginya sebuah pintu ke
Syurga”. “Rasulullah s.a.w bersabda lagi: “Lalu datang kepadanya sebahagian
dari bau Syurga dan keharumannya ); kemudian dilapangkan kuburnya seluas tujuh
puluh hasta persegi, dan diberikan cahaya yang menerangi kuburnya; kemudian
dikatakan kepadanya: “Tidurlah!” Lalu ia berkata:
“Bolehkah aku balik kepada
keluargaku supaya dapat aku ceritakan kebaikan halku?” Dua Malaikat itu berkata
kepadanya: “Tidurlah seperti tidurnya pengantin yang tidak dibangkitkan dari
tidurnya melainkan sekasih-kasih ahlinya; Demikianlah halnya sehingga ia
dibangkitkan Allah dari tempat baringnya itu. Jika si mati itu seoarang
munafik, ia menjawab pertanyaan Malaikat itu dengan katanya: “Aku dengar orang
berkata demikian, maka aku pun turut berkata sama; aku tidak tahu benarkah atau
tidak”. Lalu dua Malaikat itu berkata:
“Memang kami tahu engkau
berkata demikian”; (dan menurut satu riwayat oleh Abu Daud: “Lalu diseru oleh
penyeru dari langit katanya: “Sesungguhnya orang itu berdusta maka
bentangkanlah kepadanya satu hamparan dari Neraka, dan pakaikanlah dia dari
Neraka, serta bukakanlah baginya sebuah pintu ke Neraka”. Rasulullah s.a.w.
bersabda lagi:
“Lalu datang kepadanya
sebahagian dari bahang Neraka dan udara panasnya) kemudian diperintahkan bumi
supaya mengapitnya lalu bumi mengapitnya sehingga berselisih tulang-tulang
rusuknya, maka tinggallah ia dalam azab itu terus menerus ke masa Allah
bangkitkan dia dari kuburnya.”
0 comments :
Post a Comment